PROFIL INSTITUT

Pusat Latihan Teknologi Tinggi, atau lebih dikenali sebagai ADTEC (Advance Technology Training Centre) buat pertama kalinya telah membuka cawangannya di wilayah timur. Tempat bertuah yang dipilih ialah di Bintulu, Sarawak. Bermulanya ADTEC disaat majlis rasmi pecah tanah diadakan pada 1 Mac 2008 oleh Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud, ianya secara berperingkat dibina selama hampir 3 tahun sebelum ADTEC secara rasminya diserahkan kepada pihak pengurusan ADTEC dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) pada tanggal 1 April 2011.

Dengan keluasan kawasan sebanyak 3 hektar, ADTEC Bintulu dibangunkan dengan bantuan arkitek pakar yang dilantik terus oleh KSM untuk memantau proses pembangunan selama 3 tahun tersebut. Berdasarkan peta lanskap ADTEC Bintulu yang asal, pihak-pihak yang dilantik untuk membina ADTEC sememangnya telah memberikan sepenuh usaha bagi memastikan setiap pembinaan atau perubahan yang dilakukan mengikut kriteria-kriteria spesifikasi yang telah ditetapkan.

Hari bersilih ganti, tahun demi tahun melepasi, saat penantian ADTEC untuk siap sepenuhnya kian hampir menemui penghujungnya. Pada 27 & 28 Januari 2011, pihak-pihak berlantik yang terdiri dari wakil dari KSM, wakil dari Jabatan Tenaga Kerja (JTM), wakil staf ADTEC Bintulu dan ILP Miri telah dipertemukan bersama dengan pihak kontraktor dan arkitek pada satu sesi mesyuarat pra-penyerahan ADTEC Bintulu dan lawatan tapak oleh Timbalan Ketua Setiausaha. Sidang mesyuarat berbincang tentang perkembangan pembinaan ADTEC Bintulu serta perkongsian tentang pelbagai isu-isu yang berkaitan bagi memastikan ADTEC Bintulu diserahkan dengan baik dan menepati piawaian serta perjanjian yang telah termeterai sebelumnya.